28 Ogos 2011

Salam Kemenangan di Aidilfitri...

Sedar tak sedar, kita sudah menghampiri saat terakhir bersama Ramadhan yang penuh dengan barakah dan maghfirah.Moga Ramadhan kali ini mentarbiyyah kita untuk terus bertaqarrub pada Allah S.W.T dan juga untuk terus bersama Islam hingga akhir hayat....Sesungguhnya Ramadhan yang bakal meninggalkan kita, pasti akan dirindui dan doakanlah moga kita semua masih terpilih oleh Allah untuk bertemu Ramadhan di masa akan datang.


  
Sekarang ini kita hampir berada dalam bulan Syawal, bulan yang disifatkan oleh sebahagian orang sebagai bulan kemenangan. Mereka melaung-laungkan kemenangan ini yang mana mengikut mereka adalah kemenangan setelah berpuasa dalam bulan Ramadhan. Memang tidak salah kita menyambut bulan Syawal dan menyifatkannya sebagai bulan kemenangan. 
Malah lebih tepat lagi ianya merupakan kemenangan yang diraikan pada hari pertama bulan 

Syawal, iaitu pada 1 Syawal bagi melahirkan kesyukuran kepada Allah. Kerana itulah perayaan menyambut kemenangan ini dilakukan dengan bertakbir, bertahmid memuji Allah dan dengan beraimai-ramai mendirikan solat Aidilfitri. Dalam menyambut Aidilfitri ini, masyarakat kita menghayatinya dengan menziarahi sanak-saudara dan bermaafan antara satu sama lain. 
Dalam kita melakukan ini semua, kita tidak sepatutnya melupakan bahawa agama Islam menitik-beratkan kesederhanaan dalam semua aspek, termasuk dalam menyambut Aidilfitri ini. Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira dan merapatkan silaturrahmi. Malah dalam Islam, kita dianjurkan agar menzahirkan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita sebagai tanda syukur atas nikmat tersebut.Firman Allah lagi dalam surah Al-’Araf, ayat 32:
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang mengharamkan perhiasan yang telah Allah anugerahkan untuk hamba-hambanya, dan makanan-makanan yang baik-baik. Katakanlah bahawa ia adalah untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan mereka di dunia ini dan khas untuk mereka di akhirat kelak. Begitulah kami menjelaskan tanda-tanda itu bagi kaum yang mengetahui.”
 



Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Araf ayat 31:
Ertinya: Wahai anak-anak Adam, berhiaslah setiap kali kamu ke masjid, dan makanlah serta minumlah dan janganlah menjadi orang-orang yang membazir.


Inilah antara ciri-ciri orang yang beriman. Mereka makan dan minum serta bergembira tetapi dalam kadar yang tidak membazir. Kerana mereka sedar bahawa orang-orang yang membazir adalah saudara Syaitan. Ini jelas dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’ ayat 27:
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.

Oleh itu, marilah kita mengamalkan kesederhanaan dalam kita menyambut bulan Syawal yang penuh kegembiraan ini. Janganlah dalam kesenorokan kita menyambutnya kita tergolong dalam golongan saudara syaithan kerana pembaziran yang berlaku. Ingat jugalah bahawa ramai, malah jutaan umat Islam di dunia ini yang masih menderita kesusahan dalam bulan Syawal ini, yang lapar dahaga, yang kurang pakaian dan tiada tempat tinggal. Sedangkan kita apabila telah diberi nikmat oleh Allah, kita membazirkannya dan lupa saudara-saudara se-Islam kita yang sedang merana. Ingatlah bahawa segala nikmat adalah kepunyaan Allah dan Allah boleh menarikanya kembali dari kita bila-bila masa. Ingatlah bahawa penderhakaan yang nyata adalah menggunakan nikmat Allah untuk menderhakaiNya.

Raikanlah kemenangan kita pada Syawal nanti.Kemenangan dan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Maha Agung kerana memilih kita menjalani ibadah di bulan Ramadhan.Pentarbiyyahan Ramadhan yang kita alami barangkali menjadikan kita seorang hamba lebih baik dari yang sebelumnya atau sebaliknya.Hanya kita yang tahu sejauh mana iman kita, iman yang kadang-kadang berkurang, kadang-kadang bertambah, dan Allah Yang Maha Mengetahui untuk menilai segalanya....Yang penting keikhlasan hati kita dalam beribadah kepada Nya...






16 Ogos 2011

NUZUL AL-QURAN  

Sejarah al-Quran: Antara  peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185) 
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.
Erti Nuzul al-Quran: 
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.1


Nama-Nama Lain:


Selain disebut al-Quran, ia  juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain.
 Proses Penurunan al-Quran: Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun.13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Kehebatan al-Quran: 



1.Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)

2.Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.

3.Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta  ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).

5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi saw.

6.Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam  kekal terpelihara hingga kiamat.

7.Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)2 

8.Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” 
 

  Tuntutan al-Quran: Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya. 
  1. Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
  2. Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
  3. Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.
   Peringatan: 
  1. Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.
  2. Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
  3. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
  4. Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
  5. Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).
     Semoga Ramadan kali ini membawa rahmat buat kita semua. Amin