28 Ogos 2011

Salam Kemenangan di Aidilfitri...

Sedar tak sedar, kita sudah menghampiri saat terakhir bersama Ramadhan yang penuh dengan barakah dan maghfirah.Moga Ramadhan kali ini mentarbiyyah kita untuk terus bertaqarrub pada Allah S.W.T dan juga untuk terus bersama Islam hingga akhir hayat....Sesungguhnya Ramadhan yang bakal meninggalkan kita, pasti akan dirindui dan doakanlah moga kita semua masih terpilih oleh Allah untuk bertemu Ramadhan di masa akan datang.


  
Sekarang ini kita hampir berada dalam bulan Syawal, bulan yang disifatkan oleh sebahagian orang sebagai bulan kemenangan. Mereka melaung-laungkan kemenangan ini yang mana mengikut mereka adalah kemenangan setelah berpuasa dalam bulan Ramadhan. Memang tidak salah kita menyambut bulan Syawal dan menyifatkannya sebagai bulan kemenangan. 
Malah lebih tepat lagi ianya merupakan kemenangan yang diraikan pada hari pertama bulan 

Syawal, iaitu pada 1 Syawal bagi melahirkan kesyukuran kepada Allah. Kerana itulah perayaan menyambut kemenangan ini dilakukan dengan bertakbir, bertahmid memuji Allah dan dengan beraimai-ramai mendirikan solat Aidilfitri. Dalam menyambut Aidilfitri ini, masyarakat kita menghayatinya dengan menziarahi sanak-saudara dan bermaafan antara satu sama lain. 
Dalam kita melakukan ini semua, kita tidak sepatutnya melupakan bahawa agama Islam menitik-beratkan kesederhanaan dalam semua aspek, termasuk dalam menyambut Aidilfitri ini. Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira dan merapatkan silaturrahmi. Malah dalam Islam, kita dianjurkan agar menzahirkan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita sebagai tanda syukur atas nikmat tersebut.Firman Allah lagi dalam surah Al-’Araf, ayat 32:
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang mengharamkan perhiasan yang telah Allah anugerahkan untuk hamba-hambanya, dan makanan-makanan yang baik-baik. Katakanlah bahawa ia adalah untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan mereka di dunia ini dan khas untuk mereka di akhirat kelak. Begitulah kami menjelaskan tanda-tanda itu bagi kaum yang mengetahui.”
 



Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Araf ayat 31:
Ertinya: Wahai anak-anak Adam, berhiaslah setiap kali kamu ke masjid, dan makanlah serta minumlah dan janganlah menjadi orang-orang yang membazir.


Inilah antara ciri-ciri orang yang beriman. Mereka makan dan minum serta bergembira tetapi dalam kadar yang tidak membazir. Kerana mereka sedar bahawa orang-orang yang membazir adalah saudara Syaitan. Ini jelas dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’ ayat 27:
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.

Oleh itu, marilah kita mengamalkan kesederhanaan dalam kita menyambut bulan Syawal yang penuh kegembiraan ini. Janganlah dalam kesenorokan kita menyambutnya kita tergolong dalam golongan saudara syaithan kerana pembaziran yang berlaku. Ingat jugalah bahawa ramai, malah jutaan umat Islam di dunia ini yang masih menderita kesusahan dalam bulan Syawal ini, yang lapar dahaga, yang kurang pakaian dan tiada tempat tinggal. Sedangkan kita apabila telah diberi nikmat oleh Allah, kita membazirkannya dan lupa saudara-saudara se-Islam kita yang sedang merana. Ingatlah bahawa segala nikmat adalah kepunyaan Allah dan Allah boleh menarikanya kembali dari kita bila-bila masa. Ingatlah bahawa penderhakaan yang nyata adalah menggunakan nikmat Allah untuk menderhakaiNya.

Raikanlah kemenangan kita pada Syawal nanti.Kemenangan dan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Maha Agung kerana memilih kita menjalani ibadah di bulan Ramadhan.Pentarbiyyahan Ramadhan yang kita alami barangkali menjadikan kita seorang hamba lebih baik dari yang sebelumnya atau sebaliknya.Hanya kita yang tahu sejauh mana iman kita, iman yang kadang-kadang berkurang, kadang-kadang bertambah, dan Allah Yang Maha Mengetahui untuk menilai segalanya....Yang penting keikhlasan hati kita dalam beribadah kepada Nya...






Tiada ulasan:

Catat Ulasan